Khamis, 14 Oktober 2010

Buang Tabiat Sebelum Ajal


BAGAN SERAI, 3 September – Kecelakaan jalan raya melibatkan seekor kucing yang tidak diketahui namanya telah berlaku di hadapan rumah salah seorang penduduk Masjid Tinggi yang hanya ingin dikenali sebagai Mak Ngah. Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas Subuh pagi tadi. Si Mati telah dijumpai oleh seorang pak cik yang bernama A.Rahman ketika beliau dalam perjalanan ke pasar di Bagan Serai.
            ‘’Subuh tadi saya nak pergi ke masjid untuk solat Subuh. Kucing tu masih di perkarangan rumah saya. Pagi tadi lebih kurang dalam pukul 8.00 pagi begitulah gamaknya saya nampak kucing tu dah mati. Saya nak ke market sebenarnya tadi.Tu yang ternampak dia dalam keadaan yang mengerikan.’’kata Encik Rahman.
            Kejadian tersebut disyaki kes langgar lari kerana suspek yang melanggarnya tidak dapat dikesan. Menurut ramalan salah seorang penduduk kampung berkenaan, kebarangkalian Si Mati dilanggar kereta kerana tulang pinggul Si Mati didapati patah.
            Mangsa mengalami kecederaan yang teruk di kepala sehingga matanya terkeluar secara tidak sengaja daripada soket asalnya dan mengalami kecederaan tulang belakang dan pinggul. Mangsa menemui ajal di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialaminya. Si Mati dikebumikan di tanah perkuburan belakang reban ayam Batu 12, Masjid Tinggi, 34300 Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan.
            Menurut anak kepada tuan yang memelihara Si Mati,Norfaiezah, ‘’Semalam adalah kali pertama dan kali terakhir saya memegangnya kerana sebelum ini mangsa agak jual mahal dan sibuk dengan tunangnya bernama Hitam serta selalu keluar rumah untuk mencari makanan asasi bagi semua spesis kucing iaitu tikus kemondok cabuk.’’
            ‘’Kucing berkenaan adalah seekor kucing yang manja dan jinak.Kehilangannya amat dirasai oleh kami sekeluarga.’’kata Puan Hatijah, penjaga mangsa dengan nada sedih.-Nur Islami melaporkan.

Tiada ulasan: