Khamis, 14 Oktober 2010

Cereka hati


Kala semalam…
Tatkala ombak noda menghempas pantai hati
Hidayah-Mu hadir menyelamatkanku
Daripada hanyut dibawa arus cinta duniawi
Yang kerap membuai nafsu
Kehidupan yang kukecapi terasa indah
Meskipun laknat-Mu mengiringi setiap gelak tawaku.

Namun…
Segalanya berubah…
 Setelah hatiku dicium tarbiyah-Mu
 Kini hatiku dikucup kasih sayang-Mu
Menyeru jasadku mencari redha-Mu

Relaku berjauhan dari keluarga
Relaku infakkan hartaku demi agama
Relaku ithar demi sebuah persaudaraan
Relaku korbankan dunia demi akhirat
Relaku bunuh kemahuan nafsu demi kesucian niatku.

Kerana kutahu…meskipun mujahadah itu hempedu
Namun… syurga itu madu.
Ya Rabbul Izzati…
Diri ini amat merindui Tarbiyah-Mu
Hari berganti bulan
Bulan bakal berganti tahun
Sehari kurasa seabad lamanya
Jiwaku terasa kosong
Rohku terasa gersang
Hatiku kian merekah kerana kemarau ini.

Ya Rahman ya Rahim…
Pimpinlah daku ke arah mencari cinta dan redha-Mu
Jalan yang kulalui terasa sempit
Setiap langkahku terasa perit
Diriku keseorangan dibuai sepi
Daku buntu…
Ke manakah destinasi yang harusku tuju?

Ya Ghafururrahim…
Diri ini mengakui bahawa keadaan yang menimpaku kini
Adalah balasan-Mu terhadap dosa-dosa semalam
Diri ini tiada daya untuk menghadapi neraka-Mu
Kerana itu…
Ampunkanlah segala keterlanjuranku
Janganlah Kau biarkan diriku bersama orang yang menzalimi diri sendiri.
Perkenankanlah permintaanku ini, ya Allah.
Kini…,
Diriku hanya mengharapkan sinar hidayah-Mu
Sebagai dian bagi menyuluh rohku yang kian sirna cahayanya
Jangan sesekali ya Allah
Kau biarkan diriku hanyut ditelan bayu nikmat dunia
Kerana itu adalah senda gurauan semata
Tunjukkanlah daku sebuah kebenaran.

Yang mana satu realiti?
Yang mana satu logamaya?

Demi Tuhanku yang nyawaku berada di tangan-Nya
Aku memohon kepadaMu ya Allah
Ampunkanlah diriku, ibu bapaku, saudara dan saudari seaqidahku sekaliannya
Kurniakanlah kami petunjuk dan hidayahMu
Agar kami…

Tetap kekal berada di jalanMu yang lurus.
Tetap kekal berada di jalan TarbiyahMu
Tetap kekal beriman kepadaMu
Tetap kekal mentaati perintahMu
Tetap kekal bertaqwa kepadaMu di mana saja kami berada
Tetap kekal mempertahankan agamaMu meskipun nyawa kami atau nyawa keluarga kami menjadi taruhan.


Jadikanlah semua insan…
Yang melihat diri kami,
Yang membaca hasil tulisan kami,
Yang melihat hasil lukisan kami,
Yang berada di sekeliling kami,
Menjadi hambaMu yang beriman dan bertaqwa sehingga ke akhir hayat mereka.

Harapanku hanya satu…,ya Allah
Diriku mengharapkan…
Kami beriringan menuju ke syurga FirdausMu
Dan menjadi penghuninya buat selamanya
Kerana tiada yang lebih bernilai bagi kami
Melainkan memasuki syurgaMu dalam keadaan redha dan diredhai.

( Tarian jari Nurislami Humaira’)

Tiada ulasan: